Cabaran Menguruskan Institusi Masjid Masa Kini : Siri 1



Sejarah kegemilangan Islam pada era Rasulullah SAW sehinggalah Kerajaan Turki Uthmaniyyah satu ketika dulu telah menyaksikan institusi masjid memainkan peranan besar dalam membina dan memacu pembangunan umat Islam dalam pelbagai aspek. Contohnya dalam aspek pendidikan,umat Islam harus berbangga kerana memiliki sebuah institusi pendidikan Islam terulung di dunia, yakni Universiti Al-Azhar yang asasnya bermula dengan kewujudan masjid Al-Azhar.

Penulis percaya ramai yang akan meluahkan kekecewaan mengenai apa yang berlaku kepada kebanyakan masjid di negara ini. Masjid dilihat sebagai medan yang hanya bersifat umum semata-mata untuk menjayakan ibadat khusus seperti tempat kenduri dan majlis akad nikah semata-mata. Masjid di negara ini dikatakan seakan hilang daya kekuatannya ,pesonanya bahkan identitinya seperti mana masjid di zaman kegemilangan Islam ketika dahulu.

Tidak dinafikan, ada masjid di Malaysia yang sudah mula bangkit untuk sekurangnya menerapkan sebahagian peranan masjid sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW ketika membina Masjid Nabawi dan Masjid Quba.

Semua yang sedang berlaku ini disebabkan cabaran yang datang sama ada dari luar atau dalam terhadap institusi masjid di Malaysia.

Terlalu banyak cabaran yang dihadapi oleh institusi masjid pada masa kini. Bermula dari sambutan aktiviti yang kurang memberangsangkan sehinggalah kepada keupayaan fungsi masjid kepada masyarakat tidak terserlah.Antara cabaran dan isu-isu berkaitan institusi masjid masa kini adalah seperti berikut:


  1.  Aspek kepimpinan pengurusan masjid yang tidak proaktif atau ketandusan idea.
  2.  Aspek pelaksanaan aktiviti dan program kurang mantap di mana setakat mengadakan aktiviti tanpa mengambil kira sasaran kelompok dan objektif.
  3. Aspek pengajian ilmu yang kurang memberangsangkan sama ada cara penyampai, metode penyampaian mahupun isi yang tidak bersifat semasa.
  4. Aspek keceriaan fizikal kurang diambil berat seperti landksap, juga kebersihan bilik air.
  5. Aspek perisian pembangunan sosial tidak mesra pelanggan, mesra belia, mesra keluarga mahupun masyarakat.

  
Untuk siri kali ini, penulis berminat untuk mengupas tentang organisasi masjid sahaja.
Jika kita mengimpikan sesebuah masjid untuk menjadi ‘jantung’ dan ‘nadi’ masyarakat, sewajarnya kita perlu melihat kepada orang-orang yang menguruskan masjid itu terlebih dahulu.
Penulis membahagikan kupasan ini kepada dua aspek utama:

  •  Siapa yang patut dipilih untuk menerajui masjid?
  •  Apakah elemen penting organisasi yang dibentuk?

Dalam soal siapa yang patut dipilih memegang jawatankuasa masjid, penulis lebih berminat untuk membicarakan dari segi bagaimana menjadikan jawatan di masjid sesuatu yang istimewa.
Misalnya, dengan mewujudkan jawatan organisasi masjid secara professional. Penulis membayangkan andai dibuat iklan seperti rajah di bawah, pasti ramai yang akan merebut posisi tersebut.




Bertitik tolak dari sinilah, penulis percaya semua jawatankuasa masjid yang dipilih melalui temuduga nanti pasti akan lebih bersemangat untuk mencapai matlamat dan visi masjid masing-masing. Tidak akan wujud lagi persoalan main tangkap muat atau memenuhi kerusi yang ada dalam pemilihan jawatankuasa masjid. Dalam erti kata lain, ciri- ciri sebenar untuk menguruskan masjid adalah :

-         Bekerja sepenuh masa di masjid untuk benar-benar menumpukan perhatian untuk mengembalikan    masjid sebagai pusat tumpuan masyarakat.
-          Jawatankuasa masjid memperolehi gaji yang tetap secara bulanan. Tumpuan karier mereka adalah institusi masjid semata-mata.
-          Pemilihan jawatankuasa masjid hanya kepada mereka yang layak untuk sesuatu posisi berdasarkan kemahiran dan pengalaman yang dimiliki.
Mungkin ramai yang akan pertikaikan soal kewangan kerana jika benar mahu mewujudkan jawatan secara profesional, pasti setiap bulan masjid perlu menyediakan jumlah kewangan yang besar dan mampukah sesebuah masjid untuk menghadapi perkara tersebut? Tentang hal menguruskan dana masjid, penulis akan membicarakan di dalam siri penulisan akan datang.

Dalam aspek elemen apa yang harus dititik beratkan dalam kalangan jawatankuasa masjid, penulis mencadangkan elemen kepimpinan harus menjadi tunjang utama. Jawatankuasa masjid harus menunjukkan kempimpinan yang baik sepanjang memegang jawatan. 

Mereka sendiri yang perlu datang mengimarahkan solat berjemaah (solat lima waktu) di masjid.
Mereka sendiri yang harus melihat apa masalah yang dihadapi oleh masjid mereka dan mancari cara terbaik untuk mengatasinya.
Mari kita lihat beberapa masalah dari kelemahan kepimpinan masjid.

Berapa banyak masjid hari ini kalau diaudit, yang mempunyai profiling qaryah/ pangkalan data maklumat seperti bilangan penduduk Islam, golongan fakir dan miskin, golongan kurang upaya dan pelbagai lagi? 
Penulis percaya masih ramai jawatankuasa masjid yang tidak melihat akan kepentingan hal ini.
Dengan wujudnya profiling qaryah ini akan memudahkan perancangan aktiviti masjid tersebut mengikut sasaran kumpulan.
Sebab itulah, kita perlukan mereka yang mempunyai gaya kepimpinan yang bagus. 

Contoh lain, ada sebahagian jawatankuasa masjid yang masih malu dan takut-takut untuk bercakap atau membuat pengumuman di hadapan jemaah yang hadir.
 
Menurut Ab.Aziz Mohd Zain (2003), kepimpinan masjid perlu memiliki pemikiran yang ‘terbangun’ untuk mengurus masjid melalui pembangunan minda dan ia boleh dilakukan melalui penambahan ilmu pengetahuan, pengalaman, kesedaran, motivasi dan wawasan.

Pendek kata,kepimpinan masjid perlu membuat penumpuan kepada ‘membuat perkara yang betul dan bukan sekadar membuat sesuatu dengan betul’ (do the right things, not just do things right).

Insya-Allah saya akan sambung dalam siri kedua mengenai cabaran menguruskan institusi masjid pada minggu hadapan.

Rujukan :

Roslan Mohamed. (2002). Pemerkasaan Masjid Melalui Pengurusan Professional, Penerbit UTM





Sekiranya artikel ini ada MANFAAT

Kongsi Catatan Ini

Comments

    Blogger Comment

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.

Followers