Nilai Masjid di Hati Kita



Saya sengaja memilih topik ini dalam siri tulisan bersiri saya yang pertama ini supaya kita dapat bermuhasabah dahulu tentang kedudukan institusi masjid di hati masing-masing sebelum melanjutkan perbahasan lanjut mengenai masjid dari beberapa aspek yang dipilih. Selepas sudah nilai kedudukan masjid di hati masing-masing, barulah mudah dan lebih lapang hati untuk membincangkan aspek lain tentang masjid.

Perkara asas yang perlu diselesaikan adalah NIAT. Dipetik satu hadis yang masyhur tentang niat supaya kita jelas dengan hukum hakam Islam. 

Dari Amir al-Mu’minin Abu Hafs 'Umar Ibn Khattab radiyallahu 'anh, katanya: Aku dengar Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda: Hanya segala ‘amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang ia niatkan. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Dan sesiapa yang hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehinya atau perempuan yang ia ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu.

Diriwayatkan hadis ini oleh dua orang Imam hadis iaitu Abu ‘Abdullah Muhammad Ibn Isma‘il Ibn Ibrahim Ibn AlMughirah Ibn Bardizbah al Bukhari dan Abu al-Hussain Musalim Ibn al-Hajjaj Ibn Muslim al-Qusyairi al-Naisaburi dalam kitab sahih keduanya, iaitu kitab yang amat sahih di antara kitab yang pernah disusunkan.

Imam Syafi‘i dan Imam-Imam yang lain berpendapat bahawa hadis ini adalah sepertiga Islam kerana perbuatan seseorang tidak dapat lari dengan tiga perkara iaitu hati, lisan dan anggota badan. Niat jelas salah satu dari tiga perkara tersebut.
Saya tak berminat melanjutkan perbicaraan mendalam mengenai hadis ini tetapi satu mesej yang jelas daripada hadis ini iaitu setiap amal perbuatan kita bergantung pada niat.

Berbalik kepada soal masjid, tanya semula kepada diri pembaca masing-masing, selama ini kita datang ke masjid atas sebab apa?
Rugi sekiranya kita hanya datang masjid sebab ibu suruh ataupun datang ke masjid sebab ada makanan setiap malam Jumaat.
Rugi sekiranya kita hanya datang ke masjid sebab kebetulan ataupun sebab nak orang puji kita.
 
Niatlah datang ke masjid untuk menegakkan sunah Nabi Muhammad SAW dengan menunaikan solat secara berjemaah dan ingin menjaga syiar Islam.


Di manakah kedudukan masjid di hati kita? 

Satu persoalan yang ingin dilontarkan, adakah anda rasa masjid di tempat anda sudah punyai ‘pelanggan’ tetap setiap kali solat lima waktu?
Saya percaya masih ramai lagi umat Islam (terutamanya lelaki) yang masih memandang sepi kehebatan dan keistimewaan rumah Allah di dunia ini.

Bayangkan dunia ini tanpa masjid!
Tidak kedengaran lagi suara muazin berkumandang azan di langit untuk menyahut orang solat berjemaah lima kali sehari.
Senyap sepi.
Tidak ada lagi para asatizah mengajar ilmu di masjid untuk memahamkan umat tentang agama.
Nilai masjid terlalu tinggi dalam dakwah Islam itu sendiri.

Kata Dr Yusuf al-Qardhawi :
“Dengan menunaikan solat berjemaah di masjid sebanyak lima kali sehari, menjadikan masjid suatu tempat yang penting dalam Islam dan kehidupan muslimin. Masjid bukannya tempat bertapa untuk golongan pendeta (yang hanya menumpukan kepada ibadah khusus), atau sudut untuk golongan menganggur, bukan juga tempat ibadat golongan darwis (ahli pertapaan). Dalam Islam tiada pendetaan atau pertapaan."

Tetapi kenapakah umat Islam masih lagi tidak bangga untuk menjadi pelanggan setia masjid sebaliknya hanya bangga memiliki masjid yang indah?
Rasulullah SAW sudah pun menceritakan ganjaran besar kepada pengunjung setia masjid yang apabila menceritakan tujuh golongan yang akan mendapat naungan rahmat Allah SWT pada hari kiamat kelak iaitu salah satu golongan itu adalah seorang lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid.

Marilah, kita gunakan apa saja nikmat yang Allah bagi untuk bantu kita dekati masjid.
Sekiranya ada nikmat kenderaan seperti motosikal, gunakan ia untuk memudahkan anda ke masjid.
Sekiranya ada nikmat kesihatan tubuh badan, manfaatkan nikmat ini supaya rajin menunaikan sekurang-kurangnya solat jemaah di masjid.
Gunakanlah nikmat keamanan di Malaysia ini untuk kita mendekati masjid sebaik mungkin. Fikirkan ada umat Islam di luar negara yang masjid mereka musnah dibom musuh dan ada juga umat Islam yang menerima ancaman bunuh oleh musuh sekiranya hadir solat berjemaah dan menuntut ilmu di masjid.



Saya tinggalkan pembaca dengan satu persoalan untuk difikirkan bersama.
Apakah perasaan anda apabila melihat solat subuh di masjid tempat anda penuh safnya sama banyak seolah-olah seperti solat Jumaat?
Kalau mengimpikan perasaan yang gembira, percayalah masih banyak usaha yang perlu dilakukan bersama untuk mengajak orang betapa pentingnya cintakan masjid pada masa kini.
Kembalilah pada masjid.
Pintu-pintu masjid sangat rindu akan wajah pemuda-pemuda Muslim.


p/s : Tulisan ini adalah cerminan pada diri penulis. Doakan saya diberi kekuatan untuk jatuh hati dengan masjid. =)


Rujukan  :
-          - Mustafa ‘Abdul Rahman. (2008). Hadith 40 Terjemahan dan Syarahnya, Dewan Pustaka Fajar.
-          - Artikel yang berjudul Masjid Kita Kaku Tidak Mesra Pelanggan, diakses dari laman sesawang http://drmaza.com/home/?p=2507




Sekiranya artikel ini ada MANFAAT

Kongsi Catatan Ini

Comments

    Blogger Comment

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.

Followers