Manfaat Teknologi Maklumat dan Komunikasi Masa Kini : Siri 2



Dalam siri yang lepas, penulis telah membincangkan secara khusus mengenai peranan media sosial dalam sistem penyampaian maklumat institusi masjid teknologi maklumat masa kini.

Untuk siri ini, penulis akan menyambung semula perbincangan seterusnya tentang elemen laman sesawang (Web Site) dalam institusi masjid.

Laman Sesawang

Jika kita lihat pada hari ini, hampir kebanyakan institusi kerajaan dalam pelbagai sektor mempunyai laman sesawang (website) rasmi tersendiri. Misalnya, dalam institusi pendidikan di Malaysia, kita dapat capai akses ke Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di www.moe.gov.my/ ataupun melayari Portal Rasmi Jabatan Pendidikan Tinggi di http://jpt.moe.gov.my/.  


Banyak manfaat yang diperolehi daripada kewujudan laman sesawang tersebut baik dari pelajar hinggalah tenaga pengajar (guru, pensyarah dan sebagainya). Pengunjung dapat akses maklumat terkini dan menggunakan beberapa perkhidmatan online dari KPM  dengan mudah.

Penulis percaya laman sesawang sebegini diwujudkan atas dua sebab utama :
  • Sebagai pusat maklumat sesebuah institusi secara maya
  • Untuk menampilkan imej profesional sesebuah institusi
Hal yang samalah yang perlu dilakukan oleh institusi masjid di Malaysia dalam usaha meningkatkan komunikasi terhadap masyarakat sekeliling. Di Singapura kita dapat lihat banyak masjid yang melihat kepentingan kewujudan laman sesawang masjid masing-masing. Tidak keterlaluan kalau penulis katakan pengaplikasian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) institusi masjid di Singapura lebih terkehadapan dari masjid-masjid di Malaysia dari sudut kewujudan laman sesawang. Unit multimedia/media sosial mereka benar-benar melaksanakan tugas dengan baik.

Antara contoh laman sesawang terbaik masjid di Singapura :

Masjid Darul Ghufran : http://darulghufran.org/


Masjid Darul Makmur : http://darulmakmur.org/



Masjid As-Syakirin : http://www.assyakirin.sg/




Kalau hendak dinilai laman sesawang masjid-masjid di Malaysia pula, penulis menyenaraikan 3 masjid yang mempunyai laman sesawang terbaik.

 - Masjid Putra, Putrajaya : http://www.masjidputra.gov.my/

 - Masjid Aq-Taqwa Taman Bertam Indah, Pulau Pinang : http://masjidattaqwakepalabatas.com/

 - Masjid As-Salam Puchong Perdana, Selangor : http://www.masjidas-salam.com/

Dalam pemilihan laman sesawang yang terbaik, penulis meletakkan tiga ciri utama ini untuk diambil kira:
-          Maklumat sentiasa dikemaskini (Aktiviti, Berita dan Informasi Kuliah)
-          Antara muka reka bentuk (Web Design Interface) yang kemas dan menarik
-          Pemilihan nama alamat (URL) laman sesawang yang ringkas dan mudah diingati

Di bawah disertakan cadangan isi (content) penting untuk dimasukkan dalam laman sesawang rasmi sesebuah masjid:
-          Profil masjid (Sejarah/Latar Belakang, Moto Visi, Misi)
-          Carta organisasi jawatankuasa masjid (beserta no untuk dihubungi)
-          Perutusan pengerusi masjid
-          Album (Gallery) kuliah bulanan masjid (Informasi)
-     Perkhidmatan yang disediakan pihak masjid (Pengurusan Van Jenazah, Pengurusan Kubur,   Koperasi, Pusat Mini Pungutan Zakat dan sebagainya)
-          Muat turun (Teks Khutbah, Buletin Masjid dan Sebagainya)
-          Infak secara online untuk tabung masjid
-          Video rakaman kuliah terpilih
-          Berita terbaru aktiviti masjid
-          Informasi kutipan bulanan tabung kewangan masjid

Dari sudut cabaran selepas kewujudan laman sesawang rasmi sesebuah masjid, penulis melihat dua elemen ini harus diberi perhatian, yakni owner dan customer.

Apa yang penulis maksudkan dengan owner adalah pengendali laman sesawang tersebut. Laman sesawang tersebut perlu sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa supaya setiap maklumat-maklumat penting dapat disampaikan kepada pengunjung (customer) dengan baik di laman tersebut.

Penulis mengibaratkan owner dan customer ini umpama sebuah ladang anggur yang dibuka kepada pengunjung (customer) untuk dinikmati. Pemilik ladang (owner) perlulah menghasilkan anggur terbaik dan memastikan ladang sentiasa berada dalam keadaan yang baik untuk dikunjungi. Owner juga harus sentiasa mempromosikan ladang tersebut sehingga ladang itu dikenali ramai orang. Tidak ada guna andai memiliki ladang anggur tetapi tiada manfaat dan kurang pengunjung berminat untuk datang.

Akhir kalam, penulis percaya, banyak perkara yang dapat dimanfaatkan dengan kewujudan laman sesawang. Baik dari pengunjung bukan Islam sehinggalah ke anak qaryah. Impian penulis adalah untuk melihat sekurang-kurangnya masjid-masjid daerah di setiap negeri mempunyai laman sesawang rasmi yang sentiasa 'hidup' (tidak statik). Barangkali, mungkin pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing perlu memberi galakan awal di permulaan dengan memperkenalkan Anugerah laman sesawang terbaik di setiap negeri setiap bulan. Untuk menjadikannya lebih menarik, pemenang setiap bulan akan menerima wang insentif yang agak lumayan. Penulis percaya pasti kebanyakan masjid akan bersungguh-sungguh untuk memastikan masjid mereka tersenarai antara laman sesawang terbaik. Kalau institusi pendidikan (universiti) di Malaysia berlumba-lumba untuk memastikan tempat terbaik dalam Ranking of Web Universities, penulis percaya kalau diwujudkan Ranking of Web Mosques pasti sesuatu yang menarik.




Wallahu'alam.

Rujukan :

- http://www.masjid.sg/
- http://masjid.islam.gov.my/



Sekiranya artikel ini ada MANFAAT

Kongsi Catatan Ini

Comments

    Blogger Comment

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.

Followers