Manfaat Teknologi Maklumat dan Komunikasi Masa Kini : Siri 1



Perkembangan mutakhir abad ke-21 jelas menyaksikan perkembangan teknologi maklumat yang begitu pesat. Pengaruhnya dalam kehidupan seharian amat dirasai kerana manusia era globalisasi ini berinteraksi dengan lebih mudah,cepat dan efisien. Menurut pendapat Alvin Tofler [1] (1980), manusia abad ini berada dalam gelombang ke-tiga iaitu gelombang maklumat. Gelombang pertama dan kedua ialah gelombang pertanian dan gelombang perindustrian. 

Gelombang atau era maklumat ini juga dilihat sebagai sesuatu yang perlu dimanfaatkan oleh institusi-institusi yang pelbagai di Malaysia dalam usaha menaikkan imej institusi masing-masing. Statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2013 menunjukkan 60.3 % kekerapan individu menggunakan internet di Malaysia dan menghantar maklumat atau mesej segera merupakan aktivtiti internet paling tinggi penggunaan iaitu sebanyak 69.1 %. Kecenderungan yang ditunjukkan ini memberi isyarat kepada institusi supaya lebih berdaya saing dalam penyampaian maklumat agar institusi mempunyai masa depan yang baik kerana dengan maklumat itu orang memperolehi pengetahuan dan dengan pengetahuan inilah yang menjadi asas kepada sebarang keputusan atau tindakan daripada seseorang. 
 
Bertitik tolak dari sini, penulis melihat keperluan institusi masjid untuk turut sama mengekori arus gelombang ini supaya dapat memanfaatkan kecanggihan teknologi maklumat dan menterjemahkan segala maklumat  itu dalam bentuk yang disukai pelbagai golongan. Bagi memudahkan perbincangan, penulis menyediakan satu kerangka konseptual berkenaan aplikasi dari penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam institusi masjid yang dibentuk dari pemerhatian penulis sendiri.


Kerangka Konseptual Aplikasi ICT dalam pengurusan masjid

 Penulis meletakkan 4 elemen penting yang harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh institusi masjid iaitu : 

  • Media Sosial (Social Media)
  • Laman Sesawang (Website)
  • Pangkalan Data Masjid (Mosque Database)
  • Kiosk Masjid
Media Sosial 


Secara asasnya, media sosial adalah teknologi komunikasi baru yang memudahkan pengguna internet berinteraksi diantara satu sama lain dan menghasilkan serta berkongsi kandungan web dalam bentuk blog, video, podcast, wiki, RSS feed dan lain-lain. Dalam konteks penulisan ini, penulis hanya berminat untuk menyenaraikan empat contoh media sosial yang sememangnya menjadi 'guru' masyarakat dalam mendapatkan dan menyampaikan sesuatu maklumat.
Langkah pertama yang patut diambil oleh semua pengurusan jawatankuasa masjid dalam mengoptimumkan kelebihan media sosial ialah dengan sekurang-kurangnya mempunyai akaun rasmi Facebook.

 Contoh Akaun Facebook Page Masjid Batu

Dengan wujudnya akaun tersebut, banyak perkara yang boleh dilakukan dalam aktiviti penyebaran maklumat. Misalnya, admin akaun tersebut boleh berkongsi jadual umum kuliah bulanan masjid, info fasiliti masjid yang baru, info jumlah kutipan kewangan masjid (Tabung Jumaat/Tabung Bencana), perkongsian nasihat  dan info lain yang berkaitan. Untuk mengelakkan imej institusi masjid tercemar dalam pengendalian akaun Facebook ini, penulis menyarankan admin elakkan dari dua perkara ini :
- menggunakan akaun rasmi Facebook masjid untuk menyebarkan berita-berita berkaitan politik
- jarang mengemas kini info-info yang dinyatakan di atas

Pendek kata, akaun rasmi Facebook ini hanya difokuskan semata-mata untuk segala informasi dari pihak jawatankuasa masjid kepada audience sahaja.

Platform Youtube pula patut dilihat sebagai sesuatu yang berguna dalam aspek menyebarkan ilmu kepada masyarakat. Ideanya selepas mewujudkan akaun rasmi masjid di laman sesawang Youtube, pihak masjid boleh memuat naik rakaman atau video-video pendek yang diambil dari kuliah-kuliah pilihan di masjid masing-masing. Dengan meletakkan tajuk-tajuk yang menarik perhatian (catchy) di video tersebut, penulis percaya ianya pasti akan ditonton ramai orang bukan sahaja anak qaryah malah orang luar.

 Contoh Video Pendek dengan Tajuk Catchy di Youtube

Satu lagi kelebihan Youtube adalah jawatankuasa masjid boleh buat Live Streaming percuma untuk kuliah perdana dengan menggunakan akaun Youtube masing-masing. Untuk makluman pembaca, kos untuk memiliki set kelengkapan untuk membolehkan Live Streaming secara basic hanyalah RM 3000 sahaja. Bagi anak qaryah atau masyarakat luar yang tidak berkesempatan ke masjid untuk mana-mana kuliah pilihan boleh menonton dari jauh melalui Live Streaming yang dibuat oleh jawatankuasa masjid tersebut pada masa itu.

 
Contoh Live Streaming yang berjaya menarik perhatian audience

Menerusi aplikasi whatsapp pula, penulis melihat keperluan jawatankuasa masjid untuk mewujudkan group whatsapp untuk anak qaryah dan group whatsapp untuk jawatankuasa masjid itu sendiri berdasarkan beberapa kelebihan dari whatsapp itu sendiri di mana kita boleh berkomunikasi dengan 100 orang rakan dalam ruangan group dan kenalan yang mempunyai whatsapp akan disenaraikan akaunnya tanpa perlu ditambah sebagai kenalan dan menunggu untuk diterima seperti rangkaian sosial yang lain. Penulis sarankan jawatankuasa masjid mulakan dengan bilangan yang kecil dahulu dalam pembentukan group whatsapp anak qaryah. Kongsikan di ruangan group itu dengan info-info kuliah harian masjid dan info lain yang dirasakan penting. Lama kelamaan group ini akan berkembang dengan cadangan penambahan ahli. Biar anak qaryah rasa mereka diberi perhatian oleh pihak pengurusan masjid. Untuk memperbaiki komunikasi dalam kalangan ahli jawatankuasa masjid (AJK) sebaiknya diwujudkan group whatsapp jawatankuasa masjid. Gunakan group ini untuk memaklumkan penggantian imam atau bilal, cetusan pendapat/masalah dari pemerhatian AJK dan sebagainya.

Secara kesimpulannya, untuk memanfaatkan kemajuan aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi, sesebuah masjid perlulah mempunyai :
- Akaun Rasmi Facebook (Facebook Fan Page)
- Akaun Rasmi Youtube
- Group Whatsapp (Internal - AJK dan External - Anak Qaryah)

Barangkali pembaca akan mempertikaikan tulisan ini kerana ianya hanyalah idea simple yang ramai masyarakat umum mengetahui akan kelebihan aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi yang disebut dia atas tetapi penulis ingin bertanya, berapa masjid yang sudah laksanakan saranan di atas walaupun ianya hanyalah perkara yang mudah?

Kesemua idea di atas hanyalah akan menjadi satu informasi biasa andai jawatankuasa masjid tidak ada kesungguhan dan minat untuk memastikan masjid mereka mengikuti perkembangan terkini dengan memanfaatkan kelebihan yang diperolehi dari aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi.

Insya - Allah penulis akan menyambung perbincangan untuk elemen seterusnya dalam siri akan datang.


[1] http://www.alvintoffler.net/

Sekiranya artikel ini ada MANFAAT

Kongsi Catatan Ini

Comments

    Blogger Comment

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.

Followers