Masjid Sebagai Pusat Pembangunan Insaniah

Muhammad Zufar Bin Marwah
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam
Universiti Sains Malaysia
901127-07-5041
Alamat Blog : zufarmarwah.blogspot.com

Perkataan masjid dapat didefinisikan dari segi bahasa sebagai satu kata nama bagi tempat untuk sujud dan secara adatnya pula sebagai satu tempat yang disediakan untuk mengerjakan solat. Kalau dilihat dari syarak pula semua tempat di muka bumi ini adalah masjid (Mansur, 1978: 23). Dalam erti yang lebih khusus, masjid adalah suatu tempat atau kawasan daripada permukaan bumi ini yang bebas daripada dimiliki oleh seseorang dan dikembalikan kepada empunyanya yakni Allah SWT dan dikhususkan untuk bersembahyang dan beribadat padanya (Hariri, 1990: 18). Menarik juga untuk diketahui bahawa perkataan masjid berulang sebanyak dua puluh lapan kali di dalam al-Qur’an (Muhammad Fuad, 1988: 438). Di masjid jugalah, tempat yang Nabi Muhammad SAW banyak kali menerima wahyu dan di masjid jugalah, Nabi Muhammad SAW mengajar dan menyampaikan syarahan tentang ajaran Islam.

Institusi masjid terlalu bernilai dalam perjuangan Rasulullah SAW dalam membangunkan masyarakat di awal dakwah Islam. Dengan institusi masjid, Baginda berjaya membina generasi para sahabat yang kuat serta memiliki kemantapan peribadi, keimanan yang kukuh dan ilmu pengetahuan yang baik. Generasi sahabat ketika itu tidak mahu ketinggalan dalam menyumbangkan tenaga, masa dan fikiran kepada rumah Allah SWT. Para sahabat ketika itu bukan sahaja datang ke masjid untuk beribadat tetapi memainkan peranan dalam mengimarahkan masjid (Yasim Mohamed & Yusuf Desa, 2015). Walaupun Rasulullah SAW telah meninggalkan umat Islam lebih 1400 tahun yang lalu, institusi masjid masih wujud dan semakin berkembang sebagai manifestasi kepada keperluan memenuhi tuntutan masyarakat Islam itu sendiri yang semakin bertambah di beberapa tempat. Statistik terbaru daripada jumlah masjid yang berdaftar di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di seluruh Malaysia dianggarkan berjumlah 6280 buah manakala bagi kategori surau pula sebanyak 17416 buah. Kehebatan institusi masjid bukan dilihat pada jumlahnya tetapi perlu diimarahkan dan dimanfaatkan kepada masyarakat sekitarnya supaya fungsi masjid yang pelbagai seperti zaman Rasulullah SAW dapat dicapai. Bagi memastikan fungsi masjid terus diterokai bersesuaian dengan perkembangan zaman dan kepelbagaian peringkat sasaran masyarakat, masjid harus mempunyai sekurang-kurangnya 50 peranan yang dapat dikelaskan kepada tiga kategori besar iaitu sebagai pusat ibadat, pusat pendidikan dan pusat kegiatan sosial (Lokman Ab. Rahman & Musa Ahmad, 1996: 12).

Melalui fungsi masjid sebagai pusat pendidikan sebenarnya mampu untuk membantu pembangunan insaniah dalam setiap masyarakat. Pembangunan insaniah di sini merujuk kepada pembangunan seimbang di antara elemen ketahanan mental, kemantapan spiritual (kerohanian) dan fizikal kepada manusia. Hal ini telah ditunjukkan hasilnya oleh Rasulullah SAW dalam membina generasi sahabat waktu zamannya yang begitu hebat melalui masjid Nabawi sebagai model permulaan. Masjid Nabawi bukan sahaja berfungsi sebagai pusat ibadat tetapi meliputi pusat pengajian Islam, pusat pentadbiran negara, pusat pertahanan negara, pusat permesyuaratan, pusat ketenteraan dan pusat menyatupadukan umat dalam hal-hal agama dan dunia. 

Penulis mengambil contoh beberapa orang sahabat Baginda yang telah berjaya menjadi insan hebat di dunia dan akhirat melalui masjid iaitu Abu Hurairah r.a, Salman al-Farisi r.a dan Handzalah bin Abi Amir Al-Anshari. Sahabat-sahabat yang disebutkan di atas ditarbiah jiwa melalui kewujudan as-Suffah di Masjid Nabawi. Menurut Shawqi Abu Khalil (2003), as-Suffah bermakna tempat berteduh di Masjid Nabawi di Madinah selama masa kenabian setelah hijrah dan dijadikan tempat tinggal golongan miskin Muhajirin. Para sahabat yang tinggal di situ juga digelar sebagai ahli suffah. Ahli Suffah telah mencurahkan segala perhatiannya untuk mencari ilmu. Mereka beri'tikaf di Masjid Nabawi untuk beribadah (membaca dan mempelajari al-Qur’an, berzikir, dan solat) dan membiasakan diri hidup dalam keadaan serba kekurangan. Dari situ juga, muncul ramai kalangan ahli Suffah dikenali sebagai ulama dan ahli hadith kerana banyak menghafal hadith-hadith Nabi Muhammad SAW seperti Abu Hurairah r.a dan Hudzaifah ibnul Yaman r.a. Rasulullah SAW bukan sahaja mendidik mereka untuk memberi tumpuan pada ilmu agama dan ibadah sahaja, tetapi turut mentarbiah mereka untuk melibatkan diri bersama masyarakat dan jihad malah ada antara mereka yang syahid serta mendapat keistimewaan di dunia lagi. Contohnya, kisah masyhur mengenai kematian (syahid) Handzalah r.a yang dimandikan jenazahnya oleh para mailaikat di Perang Uhud. Contoh kisah lain yang masyhur adalah kisah Salman al-Farisi r.a yang telah memberikan idea (diterima Rasulullah SAW) dalam memperkenalkan strategi menggali parit dalam Perang Khandak yang telah membantu kemenangan pihak Muslimin ketika itu. Perlu juga difahami, bahawa Ahli Suffah itu terpaksa tinggal di tepi masjid itu kerana darurat ketika zaman pembinaan masyarakat Islam di Madinah dan setelah cahaya Islam telah gemilang, mereka telah beransur-ansur meninggalkan as-Suffah. Sebagai contoh, ketua as-Suffah sendiri, iaitu Abu Hurairah r.a. yang telah dinikahkan oleh majikannya yang kaya dengan anaknya Bisrah binti Gazwan. Sejak berkahwin, Abu Hurairah telah membahagikan malamnya untuk tiga bahagian yakni untuk membaca Al-Quran, untuk tidur serta keluarga dan untuk mengulang-ulang hadith yang dihafalnya. Walaupun hidupnya selepas itu senang tetapi tetap memilih untuk hidup besederhana dengan suka bersedekah, menjamu tetamu bahkan menyedekahkan rumahnya di Madinah untuk pembantu-pembantunya. Abu Hurairah terus dikenali masyarakat ketika itu sebagai seorang ahli ibadah dan seorang mujahid. Di zaman Saidina Umar bin Khatthab, dia dilantik sebagai Amir (gabenor) untuk wilayah Bahrain [1].

Kalau diamati dengan baik kesemua kisah sahabat Nabi yang dipamerkan dalam tulisan ini, Nabi Muhammad SAW telah berjaya melahirkan generasi sahabat yang hebat perjuangan dalam pembangunan agama Islam ketika zaman itu yang telah dimulai di masjid. Keimanan yang mantap (dari sudut kerohanian) yang telah dibina membantu mereka memahami kenapa perlu berjihad dan mendalami ilmu agama Islam yang seterusnya disebarkan kepada masyarakat ketika itu. Ketahanan mental dapat dilihat melalui kemiskinan ketika mereka tinggal di as-Suffah tidak menghalang mereka untuk terus mengabdikan diri kepada Allah SWT dan kekuatan fizikal yang telah dibina dapat dilihat melalui penglibatan mereka dalam beberapa siri peperangan ketika itu. Kesemua gabungan ketiga elemen ini berjaya diterjemahkan dengan baik dalam kehidupan mereka yang seharusnya dijadikan contoh kejayaan pembangunan insaniah masyarakat melalui masjid. Sesuai dengan zaman kini, institusi masjid boleh melihat ruang-ruang lain terutamanya dalam aspek mempelbagaikan bidang pengajian tidak formal yang bukan sahaja aspek ilmu ukhrawi (aqidah, ibadah dan sebagainya) tetapi turut merangkumi ilmu duniawi di masjid supaya dapat dimanfaatkan oleh masyarakat setempat. Sedikit sebanyak penulis percaya sekiranya hal ini dapat dimaksimumkan, sekurangnya institusi masjid masa kini dapat membantu melahirkan insan-insan yang hebat jiwanya dalam mengamalkan agama Islam dan kuat fikir untuk agama Allah SWT.

Rujukan

Lokman Ab. Rahman & Musa Ahmad (1996). Pengantar Sains Pengurusan Masjid, Melaka: Majlis Agama Islam Melaka & Kolej Islam Melaka, h.12.

Mansur al-Rafaiyy al-Ubayd (1978). Makanatahu al-Masjid wa Risalatuhu. Tiada Penerbit.

Mohamad Fuad Abd al-Baqiyy (1988). Al-Mu’jam al-Mufahras li Alfaz al-Qur’an al-Karim, Dar al-Hadith, al-Qahirah.

Portal Rasmi Masjid Malaysia. Statistik Masjid di Seluruh Malaysia. Diakses daripada http://masjid.islam.gov.my/ pada 30 November 2015.

Shawqi Abu Khalil (2003). Athlas al-Hadith al-Nabawi: Minal Kutub ash-Shihah as-Sittah, Darul Fikr, Damaskus.

Yasim Mohamed dan Yusuf Desa (2015). Masjid: Realiti, Cabaran dan Harapan (Pengalaman Masjid Terbaik Malaysia). Sinar Tenggara Sdn Bhd.




[1] Dipetik dari buku Biografi 60 Sahabat Nabi (terjemahan kitab Rijal Haula Rasul) oleh Khalid Muhammad Khalid.

Sekiranya artikel ini ada MANFAAT

Kongsi Catatan Ini

Comments

    Blogger Comment

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.

Followers